Monday, April 13, 2009

PUISI

MANUSIA BUGIS

Manusia Bugis dilahirkan begitu
Roh perwira tinggalan moyang
Tidak mungkin digalang ganti
Biar beribu tahun berganti

Manusia ini dijadikan begitu
Agama dijunjung, adat dikendong
Bersatu sebati menjadi darah
Menjadi nadi hingga ke tanah

Manusia Bugis begitu sifatnya
Kental juang rajin usaha
Mawatang makkareso tak kira di mana
Keras hati bersemangat waja
Tinggi peribadi baik pekertinya
Besar ego mulia hatinya
Panjang akal luas langkahnya

Manusia Bugis istimewanya begitu
Dicabar jangan
Dihina pun jangan
Ulu pedang jadi taruhan

Rela mati pertahan maruah
Siri' dijaga pesse dipelihara
Derita saudara ditanggung sama
Pada idi pada elo
Sippatottong sippatuo
Menjadi pegangan setiap perjalanan

Keringat yang mengalir dari tubuhnya
Umpama air sakti tinggalan pendeta
Penerus kehidupan zaman berzaman
Tenaga yang dikerah dari jerih perihnya
Umpama titisan embun suci
Menjadi azimat penerus warisan

-Adeeba Lokman-

Tuesday, November 25, 2008





LOGO PERSATUAN KEBAJIKAN BUGIS SABAH (PKBS)


Reka bentuk logo, bentuk hampir bulatan, menggambarkan bersatupadu, bekerjasama, bersemangat setiakawan, berharmoni serta bercit-cita tinggi bagi mencapai matlamat dan objektif persatuan. Reka bentuk logo juga turut mengutarakan semangat waja warga PKBS dalam mengejar aspirasi persatuan untuk menjadi sebuah persatuan yang unggul dari segala aspek. Kapal layar menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi untuk melakukan satu anjakan paradigma bagi mencapai kecemerlangan yang bukan hanya untuk kepentingan suku bangsa semata-mata, malah demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Warna merah
melambangkan keberanian, kecekalan dan mempunyai semangat juang yang mantap dan jitu untuk mencapai apa yang diwawasankan. Warna merah juga membawa maksud keteguhan serta sifat keberanian persatuan dalam menempuh segala cabaran yang mendatang.

Warna hijau
bererti keaslian, iaitu melambangkan budaya bangsa yang berlandaskan keislaman. PKBS ingin menerapkan perpaduan di antara suku kaum di Sabah khasnya dan di Malaysia amnya bagi mencapai keamanan dan kedamaian yang sentiasa berteraskan kepada agama islam.

Warna putih
melambangkan niat murni dan akhlak mulia warga persatuan dalam usaha mencapai kejayaan bersama serta matlamat dan objektif persatuan yang antara lain adalah untuk menjaga kebajikan suku kaum bugis, meningkatkan taraf hidup berlandaskan islam di samping memelihara keseniaan, kebudayaan dan tradisi suku kaum bugis yang sedia ada. Warna putih juga melambangkan amalan nila-nilai murni dalam membentuk keharmonian masyarakat.

Warna kuning
melambangkan tekad dan kesatuan hati menjunjung kedaulatan negara. Di samping itu, ia juga menggambarkan satu arah serta matlamat yang hendak dituju pada setiap masa iaitu keharmonian pelbagai kaum.

Monday, November 10, 2008

BUKU ' Sejarah dan Budaya Bugis di Tawau, Sabah'


Sebuah hasil penulisan padaidi yang cukup bermakna. Hasil penulian oleh Puan Suraya Sintang , BA (UIAM) dan MA (UKM) dalam bidang Tamadun dan Perbandingan Agama dan kini merupakan pensyarah di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah.

Buku ' Sejarah dan Budaya Bugis di Tawau,Sabah' memaparkan tujuh rencana yang berkisar mengenai sosiobudaya Bugis, sejarah awal komuniti Bugis di Tawau, punca penghijrahan, adat resam, nilai siri', dan kepercayaan pra-Islam serta kepercayaan roh nenek moyang. Buku ini bertujuan mengisi kekosongan maklumat terhadap kajian komuniti Bugis Sabah yang sebahagian besarnya mendenominasi beberapa daerah kawasan pantai timur Sabah, seperti Tawau, Sandakan, Kunak, Lahad Datu. Buku ini sememangnya memenuhi citarasa dan kehendak pembacayang menantikan bahan penulisan dan bacaan yang membolehkan pembaca mengenali dan memahami sejarah dan budaya orang Bugis. Adalah wajar sekiranya buku ini menjadi sebahagian daripada koleksi rujukan pembaca yang berminat mengkaji budaya etnik Melayu. Penerbitan buku ini juga diharapkan agar dapat memupuk kefahaman bersama dan semangat perpaduan melalui terhadap kepelbagaian budaya tradisi salah satu kelompok etnik di pantai timur Sabah..

Friday, October 31, 2008

Bugis Sabah

Suku Kaum Bugis

Suku kaum Bugis merupakan salah satu etnik yang terdapat di dalam kelompok ras berbilang bangsa di negeri Sabah. Kebanyakan suku kaum ini telah menetap di pantai Timur Sabah iaitu di daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Dari aspek sosial, suku kaum ini lebih terkenal dengan kerabat pangkat diraja (keturunan dara), mementingkan soal status individu dan persaudaraan sesama keluarga. Dari segi perkahwinan,suku kaum ini lebih suka menjalinkan perkahwinan dengan keluarga terdekat dan perceraian pula merupakan hubungan sosial yang amat tidak disukai oleh suku kaum ini kerana ia meruntuhkan hubungan kekeluargaan dan bertentangan dengan nilai-nilai agama.

Pakaian tradisional suku kaum Bugis.

Pada dasarnya, suku kaum ini kebanyakannya beragama Islam Dari segi aspek budaya, suku kaum Bugis menggunakan dialek sendiri dikenali sebagai 'Bahasa Ugi' dan mempunyai tulisan huruf Bugis yang dipanggil ‘aksara’ Bugis. Aksara ini telah wujud sejak abad ke-12 lagi sewaktu melebarnya pengaruh Hindu di Kepulauan Indonesia.

Aksara Bugis.

Sejarah kedatangan suku kaum Bugis di Sabah (Tawau khususnya) berkaitan dengan sejarah penerokaan Tawau. Adalah dipercayai suku kaum ini telah meninggalkan Kepulauan Sulawesi menuju ke Pulau Jawa, Sumatera, Semenanjung Malaysia, Kalimantan dan Borneo sejak abad ke-16 lagi.

Tahun 1840 dijadikan sebagai fakta kukuh untuk menyatakan tempat permulaan penerokaan Tawau oleh suku kaum Bugis. Penempatan awal oleh suku kaum Bugis ini bermula di kawasan yang dikenali sebagai Ranggu. Ini bermakna suku kaum Bugis sudah pun menerokai kawasan Tawau dan menjadikan Ranggu sebagai salah satu destinasi untuk berulang-alik ke Indonesia menjadi pedagang dan membawa masuk pekerja buruh ke ladang-ladang milik kerajaan British ketika itu. Apapun, Ranggu diasaskan oleh nenek Penghulu K.K. Salim di Kampung Sungai Imam, Bombalai.

Kemudian seorang lagi bangsa Bugis dari kerabat diraja Bone bernama Petta Senong menetap di Sungai Imam, Bombalai. Usaha mereka ketika itu adalah sebagai orang upahan kepada Kerajaan Sulu untuk menghapuskan sebanyak mungkin lanun-lanun yang bergerak di perairan Laut Sulu, Borneo.

Kemudian, beberapa kawasan baru terus diterokai oleh suku kaum Bugis dan kawasan yang termasuk dalam tapak pembangunan Bandar Tawau. Antara suku kaum Bugis yang terlibat dalam penerokaan bandar Tawau ialah Puang Ado, Daeng Mappata, Wak Neke, Wak Gempe dan Haji Osman.

Di antara tarian-tarian suku kaum Bugis.

Konsep siri masiri (malu, menjaga maruah) yang dikaitkan dengan kata-kata suku kaum Bugis antara lainnya :

- "...aja mumae’lo nabe’tta taue’ makkalla ‘ ricappa’na lete’ngnge…”.

Maksud terjemahannya : Janganlah engkau mahu didahului orang menginjakkan kaki dihujung titian ( Janganlah engkau mahu didahului orang lain untuk mengambil rezeki ).

- "...naia riasengage’ to warrani maperengnge’ nare’kko moloio roppo-roppo ri laommu, rewe’ko paimeng sappa laleng molai…”.

Maksud terjemahannya : Yang disebut orang berani ialah yang kuat dan unggul bertahan, Jikalau engkau menghadapi rintangan berat yang engkau tak dapat lalui atau atasi, kembalilah memikirkan jalan atau cara untuk mengatasinya.

Dipetik dari Kertas Projek Penyelidikan "Penglibatan Politik Suku Kaum Bugis Satu Kes Kajian di N.46 Merotai, Tawau" oleh Nordin Bula.